suria

Kerajaan Selangor Hadapi Saman Ketiga Berhubung Skim Air

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini menghadap tindakan saman kali ketiga, kali ini oleh 1,313 pengguna air di negeri ini yang menuntut ganti rugi RM748,410 atas dakwaan tidak menerima subsidi air percuma seperti dijanjikan dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Peguam Kamarudin Ahmad daripada Tetuan Kamarudin & Partners yang mewakili plaintif berkata tuntutan saman kali ini diterima daripada penduduk di Kinrara, Puchong; Bandar Mahkota, Cheras dan Seksyen 18 Shah Alam.

Dalam tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, kumpulan itu menamakan kerajaan Selangor sebagai defendan pertama, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai defendan kedua dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sebagai defendan ketiga.

Pada 19 Sept lepas, 2,020 pengguna air di Selangor memfailkan saman yang sama menuntut ganti rugi RM1.15 juta daripada ketiga-tiga defendan.

Di dalam tuntutan itu, plaintif meminta satu deklarasi bahawa Skim Air Percuma yang dijanjikan oleh Defendan Pertama merangkumi semua pengguna air (termasuk plaintif) di negeri Selangor tidak kira sama ada pengguna meter pukal mahupun individu.

Mereka juga meminta suatu perintah injunksi mandatori supaya defendan ketiga mengeluarkan bil air dengan rebat atau potongan yang dijanji kepada plaintif.

Plaintif juga meminta ganti rugi RM748,410 daripada defendan pertama dan atau defendan ketiga.

Dalam penyata tuntutan, plaintif mendakwa semasa kempen pilihan raya pada Mac 2008, rakyat di negeri Selangor dijanjikan mendapat air percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan atau subsidi RM11.40 sebulan kepada pengguna domestik.

Bagaimanapun, selepas memenangi pilihan raya, kerajaan negeri memulakan skim itu pada 1 Jun 2008 tetapi mereka tidak menikmati subsidi air percuma itu.

Sementara itu, salah seorang plaintif, John Dawson Allimuthu, 38, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Apartmen Vista Lavender, Kinrara berkata beliau dan penduduk kecewa kerana tidak mendapat subsidi air percuma ini.

"Mengapa ada pilih kasih kerana itu kami tuntut di mahkamah. Rumah teres, banglo dapat, apartment tidak dapat kami rasa tidak adil," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain