suria

Polis Lupus Set Komputer Diubahsuai Untuk Tujuan Perjudian

POKOK SENA: Polis Daerah Kota Setar melupuskan 812 set komputer yang diubahsuai menjadi mesin judi di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Mukim Jabi dekat sini Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata komputer tersebut daripada 1,372 set semuanya dihapuskan setelah mendapat arahan daripada mahkamah.

"Hari ini kita melupuskan 812 set komputer sahaja manakala selebihnya (560) akan dimusnahkan kemudian. Terdapat banyak lagi set komputer yang kita rampas tetapi masih belum dilupuskan menunggu arahan mahkamah," katanya kepada pemberita selepas pemusnahan komputer berkenaan.

Adzaman berkata dari Januari hingga Ogos tahun ini pihaknya merampas 4,194 set komputer yang berunsurkan perjudian selepas melakukan 708 serbuan berbanding rampasan 1,230 mesin judi dalam 204 serbuan tahun lalu.

"Jumlah rampasan tersebut meningkat 340 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Adzaman berkata serbuan meningkat setiap bulan dan pihaknya akan menggiatkan operasi untuk merampas lebih banyak lagi set komputer dalam usaha membanteras gejala sosial di sekitar bandar raya Alor Setar.

"Walaupun sesetengah pusat hiburan mempuyai lesen, namun jika didapati melibatkan unsur perjudian, kita akan rampas," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain