suria

Pemuda PAS Jamin Himpunan Xpresi Hijau Kasih Nabi Berlangsung Aman

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS memberi jaminan Himpunan Xpresi Hijau Kasih Nabi S.A.W. yang diadakan esok akan berlangsung dalam keadaan aman dan bebas daripada sebarang unsur provokasi.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata sayap Pemuda telah mengarahkan Jabatan Amal parti itu agar mengawal himpunan agar ia berlangsung dengan aman dan terkawal.

"Sebarang tindakan provokasi atau mencetus kekacauan, maka ia bukan daripada Dewan Pemuda PAS.

"Justeru itu, peserta Xpresi Hijau Kasih Nabi S.A.W. mestilah mematuhi setiap arahan semasa dan panduan keselamatan oleh Jabatan Amal,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata Himpunan Xpresi Hijau Kasih Nabi SAW adalah himpunan amal bagi membantah penghinaan ke atas Rasulullah dan ia akan berlangsung dalam keadaan terkawal tanpa kenyataan dan tindakan provokasi.

"Katakan tidak kepada apa jua bentuk provokasi. Peserta Xpresi Hijau Kasih Nabi S.A.W. tidak dibenarkan sama sekali untuk membawa senjata atau apa jua yang merbahaya dan mengancam keselamatan peserta jua orang ramai.

"Semua peserta Xpresi Hijau Kasih Nabi saw yang beragama Islam digalakkan hadir dalam keadaan berwudhu' dan berarak dalam saf yang terkawal tanpa mengganggu keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya,” katanya.

Nasrudin turut menyeru peserta himpunan berkenaan daripada melayan dan terpengaruh dengan apa jua bentuk provokasi dari pihak yang tidak bertanggungjawab dan segera melaporkan apa jua aksi yang berpotensi mencetus kekacauan kepada Jabatan Amal atau pasukan Peguam Dewan Pemuda PAS yang bertugas atau terus kepada pimpinan PAS yang hadir.

Mengulas lanjut mengenai Himpunan Xpresi Hijau Kasih Nabi S.A.W. beliau berkata ia bermula sebaik sahaja selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji.

"Peserta akan bergerak menuju ke Kedutaan Amerika sambil himpunan diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan beberapa Naib Presiden dan pimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS.

"Kita akan menyerahkan memorandum bantahan terhadap filem jijik yang menghina Rasulullah yang diterbitkan di Amerika Syarikat. Himpunan ini akan berakhir dan bersurai dengan aman pada jam 4.00 petang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain