suria

Pengurus Stor Kedai Buku Borders Mohon Penggantungan Prosiding Kes

KUALA LUMPUR: Pengurus stor kedai buku Borders, Nik Raina Nik Abdul Aziz, yang didakwa mengedar buku kontroversi Allah, Kebebasan dan Cinta, hari ini memohon Mahkamah Tinggi Syariah untuk menggantung prosiding kes itu sementara menunggu satu lagi kesnya di Mahkamah Tinggi Sivil diputuskan.

Peguam Rosli Dahlan, yang mewakili Nik Raina, memberitahu Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan bahawa anak guamnya memfailkan permohonan bagi menggantung prosiding itu semalam.

Rosli berkata pihaknya juga turut mengemukakan bantahan awal bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi Nik Raina.

Beliau berkata permohanan itu juga difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam beserta afidavit Nik Raina bagi menyokong permohonan itu.

"Oleh itu, saya memohon supaya prosiding kes ini digantung sehingga menunggu keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil," katanya.

Pada 23 Mei lepas, Nik Raina bersama Pengurus Besar Operasi dan Perniagaan Borders, Berjaya Books, Stephen Fung Wye Keong dan Berjaya Books Sdn Bhd, pemilik kedai buku Borders, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan rampasan buku kontroversi karya Irshad Manji oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Permohonan mereka itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Sivil pada 22 Oktober.

Nik Raina dalam bantahan awal bagi membatalkan pertuduhannya itu menyatakan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar atau membicarakan sebarang pendakwaan terhadapnya berkenaan kesalahan yang menyentuh tentang percetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penyebaran, pemilikan dan juga hasil pengedaran sebarang penerbitan.

Beliau berkata ketua pendakwa syarie juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengemukakan sebarang pendakwaan berhubung perkara sama.

Nik Raina berkata oleh kerana tidak terdapat sebarang fatwa diwartakan di bawah Seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, maka tindakan penguatkuasaan oleh Jawi dan pendakwaan oleh pihak pendakwaan adalah pra-matang.

Pendakwa Syarie Che Saupi Che Husin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk menjawab permohonan dan afidavit Nik Raina itu.

Hakim Syarie Abdul Walid menetapkan 21 Jan depan bagi keputusan kedua-dua permohonan Nik Raina untuk menggantung prosiding kesnya dan membatalkan pertuduhan ke atasnya.

Pada 19 Jun lepas, Nik Raina, 36, didakwa terhadap pertuduhan menyebarkan dengan cara menjual buku bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta (Keberanian untuk menyelaraskan kebebasan dengan iman)' terjemahan buku tulisan Irshad Manji yang bertajuk 'Allah, Liberty and Love (The courage to reconcile faith and freedom)' yang bertentangan dengan hukum syarak.

Tiada pengakuan direkodkan oleh Nik Raina, yang didakwa melakukan kesalahan itu di kedai buku Borders, milik Berjaya Books Sdn Bhd, Lot T-216B, Tingkat 3, The Gardens Mall, Mid Valley City, pada 8.41 hingga 9.45 malam, 23 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 itu membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain