suria

Tujuh Lelaki Ditahan Terbabit Kes Samun Kedai Serbaneka

SHAH ALAM: Polis memberkas tujuh lelaki yang disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya lima kes samun kedai serbaneka di sekitar daerah ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata suspek warga tempatan itu ditangkap di tiga buah rumah menerusi operasi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada pukul 6.30 pagi Isnin.

Dalam serbuan itu polis menemui pelbagai barangan termasuk lima telefon bimbit, seutas gelang emas dan pisau pemotong kertas, katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Beliau berkata semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.

Selain itu, Mohd Adnan berkata polis turut menahan dua warga Bangladesh dan seorang rakyat Indonesia bagi membantu siasatan kes bunuh pekerja binaan warga Bangladesh di Kuala Kubu Bahru semalam.

Md Faruk Sheik, 30, ditemui mati pada 11.15 pagi dalam timbunan papan lapis dan batu binaan di tingkat enam sebuah blok bangunan kuarters pegawai kanan polis, Maktab Polis Diraja Malaysia yang sedang dalam pembinaan.

"Semua suspek ditahan di tempat kerja di kawasan pembinaan itu pada 1.30 tengah hari semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Semua suspek direman sehingga 25 September," kata Mohd Adnan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain