Filem Hina Islam: Presiden Perkasa Beri Tafsirannya - Semasa | mStar

Filem Hina Islam: Presiden Perkasa Beri Tafsirannya

KUALA LUMPUR: Protes umat Islam yang dibuat di seluruh dunia termasuklah pembunuhan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Libya Christopher Stevens sebagai tanda kemarahan dunia terhadap penerbitan filem 'Innocence Of Muslims' adalah balasan terhadap AS yang mengamalkan demokrasi tanpa had.

Presiden Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata, rakyat Malaysia di negara ini perlu sedar demokrasi tanpa had dan kebebasan bersuara yang diamalkan AS menunjukkan bagaimana amalan itu jika dipraktiskan di mana-mana negara termasuklah di negara ini akan 'memakan diri sendiri'.

Katanya, corak demokrasi terpimpin yang diamalkan oleh Malaysia dari dulu sehingga kini menyebabkan negara dan rakyat tidak berpecah-belah.

"Amalan yang diagung-agungkan (AS) akhirnya memakan diri mereka dan mereka sendiri menerima padah apabila duta dan pegawai mereka dibunuh.

"Dalam konteks kita di Malaysia, Perkasa sentiasa berpendapat amalan demokrasi mengikut acuan yang kita amalkan sejak merdeka sampai sekarang iaitu amalan demokrasi terpimpin berbeza dengan AS.

"Kita sentiasa mempunyai amalan demokrasi mengikut panduan menyebabkan demokrasi menjadi subur, negara tidak hancur dan rakyat bersatu padu kerana demokrasi ini ada peraturan apatah lagi negara Asia masyarakatnya terikat dengan agama," katanya pada sidang media yang diadakan di pejabatnya dekat sini, Selasa.

Menurut Ibrahim demokrasi yang diamalkan di negara ini bukan untuk menyekat kebebasan bersuara atau menafikan hak-hak manusia sebaliknya bagi menentukan proses demokrasi itu sendiri terus kekal.

"Jika semua bebas bersuara...demokrasi itu sendiri akan membunuh demokrasi..bunuh rakyat sendiri.

"Kita pun tak senang hati tengok duta AS ke Libya dibunuh...kita tak suka tapi mereka perlu terima (akibat) terhadap apa yang mereka percaya dan apa yang mereka praktis," katanya.

Katanya lagi dalam berdepan isu seperti ini, jalan terbaik yang perlu diikut umat Islam ialah berbalik kepada ajaran agama dan meminta pertolongan Allah.

Jalan penyelesaian tersebut jelasnya, seiring dengan jalan yang dipilih Perkasa yang akan mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan ceramah yang akan disampaikan oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut pada malam Rabu (esok).

Katanya, majlis yang terbuka kepada orang ramai itu akan diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Maghrib.

"Dalam menghadapi isu penghinaan seperti ini...yang paling baik dan afdal selain tunjuk perasaan ialah berbalik kepada Allah.

"Kita juga sokong tunjuk perasaan, membakar patung, himpunan protes secara aman dibuat asalkan tidak membawa kerosakan dan kemudaratan terhadap orang lain...tapi jalan terbaik ialah kembali ke jalan Allah," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengulas kenyataan Presiden AS, Barrack Obama yang menyifatkan kematian dutanya ke Libya sebagai penghormatan terhadap nilai serta amalan demokrasi AS.

Katanya, kenyataan tersebut tidak boleh dipersetujui dan diterima pakai kerana ia tidak mengambil kira sensitiviti 1.1 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Filem anti Islam ini yang menghina Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California yang disiarkan dalam laman YouTube telah mencetuskan kemarahan orang Islam di seluruh dunia.

Artikel Sebelum

Empat Ditahan Bantu Kes Gaduh

Artikel Berikut

Hui Yee Meninggal Dunia di Usia 19 Tahun

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain