Culik: Tiga Sahabat & Teman Wanita Dipenjara Seumur Hidup - Semasa | mStar

Culik: Tiga Sahabat & Teman Wanita Dipenjara Seumur Hidup

SIBU: Empat sahabat termasuk seorang wanita dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat atas kesalahan menculik seorang suri rumah dan memperoleh wang tebusan sebanyak RM53,400, dua tahun lepas.

Wanita berkenaan Ting Khai Sin, 20, dan tiga lelaki Lu King Wen, 23, Tan Teng Chiew, 28 dan Wee Nyet Lung didapati bersalah melarikan dan mengurung mangsa yang hanya dikenali sebagai Wong, 47, pada pukul 9 pagi, 17 Julai, 2010.

Hakim Datuk Yew Jen Kei memutuskan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prime facie dan bersetuju bahawa fakta kes itu tidak mewajarkan hukuman mati berdasarkan kenyataan mangsa dan hujahan peguam bela tertuduh.

Beliau berkata tertuduh juga dikecualikan daripada hukuman sebat memandangkan tiada kekerasan digunakan dan mangsa dibebaskan pada hari kejadian.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan. "Oleh kerana mahkamah terpaksa memutuskan antara hukuman mati dan penjara seumur hidup, maka saya jatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap kesemua tertuduh," katanya.

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh yang menaiki sebuah kereta dengan sengaja merempuh kereta mangsa di hadapan sebuah sekolah menengah di sini, seolah-olah kelihatan seperti kemalangan.

Selepas berbincang di lokasi kemalangan, kesemua tertuduh bersetuju membayar ganti rugi kepada mangsa untuk kerosakan keretanya.

Ting kemudian memandu kereta mangsa ke sebuah bengkel kereta pilihannya manakala mangsa diminta menaiki kereta tertuduh untuk ke bengkel kereta berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik sahaja menaiki kereta tertuduh, mata mangsa diikat dengan kain sebelum disumbat ke dalam guni dan dibawa ke sebuah lokasi sebelum menuntut wang tebusan.

Oleh kerana mangsa tidak mempunyai wang sebanyak itu, tertuduh mengugut mangsa dengan pisau dan memintanya supaya menghubungi saudaranya supaya memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank tertuduh.

Sebaik sahaja wang tebusan dibayar, mangsa dibebaskan pada hari yang sama.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Franklin Ganggan Bennet dan kesemua tertuduh diwakili oleh peguam David Kouk dan Wee Wui Kiat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.