suria

Guan Eng Cuba Alih Perhatian Isu Tanah Taman Manggis - Teng

TASEK GELUGOR: Ketua Menteri Lim Guan Eng dilihat cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan mengelak untuk menjawab dakwaan yang dibangkitkan Barisan Nasional (BN) negeri berkaitan isu tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin, dekat sini.

Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata sebaliknya Lim kini meminta beliau menjelaskan penjualan tanah yang dilakukan oleh kerajaan negeri terdahulu tanpa menjawab persoalan yang dibangkitkan terhadapnya.

"Beliau (Lim) dilihat cuba mengalihkan isu penjualan tanah seluas 0.45 hektar itu yang sepatutnya dibangunkan untuk projek perumahan rakyat (PPR) fasa kedua tetapi dijual kepada syarikat swasta untuk pembinaan bangunan setinggi 30 tingkat.

"Lim cuba mengalih isu dengan mengungkit kisah penjualan tanah di Tanjung Tokong yang berlaku pada tahun 1980-an, Lebuh Raya Jelutong (kini Lebuh Raya Tun Lim Cheong Eu) pada 1996 dan isu tanah Batu Kawan pada 2003," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka BN negeri di sini Sabtu.

Lebih 20,000 hadir pada majlis berkenaan yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin parti komponen BN antaranya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman.

Teng berkata demikian bagi mengulas kenyataan Lim yang mahu beliau menjelaskan semua isu penjualan tanah yang dilakukan oleh kerajaan negeri pimpinan BN jika mahu Lim memberi penjelasan berhubung isu tanah di Taman Manggis.

Teng berkata beliau bukanlah orang yang tepat untuk bercakap tentang keputusan kerajaan negeri terdahulu berhubung isu tanah di Tanjung Tokong dan tanah pembinaan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang telah dibuat sebelum zamannya.

"Soalan-soalan itu pernah dibangkitkan sebelum ini di Dewan Undangan Negeri oleh pembangkang (ketika BN menjadi kerajaan negeri)...saya juga tidak boleh menjawab kerana tidak tahu butiran lengkap tentang perkara berkenaan," katanya.

Mengikut cadangan asal kerajaan BN sebelum ini, tapak kosong di Taman Manggis itu diperuntukkan bagi pembinaan 272 rumah mampu milik fasa kedua selepas 320 rumah pada fasa pertama siap beberapa tahun lepas.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain