suria

Oxford Tawar Pengajian Peringkat PHD Kepada Anak Muda Bercita-Cita Jadi Saintis

HULU TERENGGANU: Mohd Firdaus Samsuddin sentiasa memberi tumpuan kepada pengajian, berhati-hati melilih kawan dan hampir tidak mempunyai kehidupan sosial.

Tetapi pemuda dari Kuala Terengganu ini tidak kisah tidak mempunyai kehidupan sosial yang aktif, sekurang-kurangnya sehingga dia mencapai matlamat utama dalam kehidupan untuk menjadi seorang saintis yang dihormati.

Mohd Firdaus, 24, adalah pelajar pertama dari negeri ini yang akan diterima untuk melanjutkan pengajian di peringkat PHD di universiti berprestij, Oxford.

"Semua usaha dan kerja keras saya berhasil apabila saya telah diterima ke Oxford," kata Mohd Firdaus di rumahnya di Kampung Kemat di sini.

Beliau pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya bersama keluarganya.

Mohd Firdaus, yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama dalam bidang bio-kimia pada Oktober tahun lepas dari Imperial College of London, sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Oxford apabila mendapat tawaran melanjutkan pengajian di peringkat PhD.

Mohd Firdaus, anak kedua daripada empat beradik berkata dia telah mengorbankan kehidupan sosial untuk berada di tahap ini.

Dengan tawaran itu, dia semakin hampir untuk mencapai matlamat menjadi seorang saintis dan membuat keluarganya berbangga.

"Saya bersyukur dengan peluang ini," kata Mohd Firdaus yang berharap untuk bekerja dengan syarikat farmaseutikal supaya dia boleh melakukan penyelidikan dalam membangunkan perubatan.

Sebagai hobi, Mohd Firdaus sering membaca novel untuk berehat dan menghilangkan tekanan.

"Membaca membuatkan saya berasa santai dan memberikan pemikiran yang tajam," katanya.

Sementara itu, bapanya Samsuddin @ Mustapha Mamat, 62, juruteknik bersara Felcra berkata beliau berbangga dengan pencapaian anaknya.

"Saya tidak pernah menyuruh dia belajar. Dia melakukannya secara sukarela," katanya.

"Dia benar-benar berbakat dan seisi keluarga sangat memberi sokongan."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain