suria

Bagai Sudah Dijangka - Ibu Bapa Penuntut Malaysia Yang Maut Di Moscow

DUNGUN: Setiap kali mendengar berita penuntut Malaysia meninggal dunia di luar negara, Muhd Shah @ Abdullah Salleh akan teringatkan nasib anaknya Hanisah, yang menuntut di Moscow, Rusia.

Namun semalam, realitinya ialah Hanisah, 22, penuntut tahun lima Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di wilayah Vladimirskaya dekat Moscow. Lebih memilukan, Muhd Shah, 62, baru saja menghantar anak bongsunya itu pulang, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pagi Ahad (2 September), selepas bercuti dua bulan dan berhari Raya dengan keluarga.

Rupanya pelukan berkali-kali anaknya sambil memohon maaf sebelum menaiki pesawat, adalah yang terakhir dan beliau redha dengan pemergiannya.

"Saya dimaklumkan Wisma Putra bahawa jenazah anak saya akan tiba di tanah air pada Jumaat ini," katanya kepada Bernama di sini.

Hanisah, penuntut tajaan Mara, terbunuh dalam nahas jalan raya yang turut mengorbankan Adzreen Dimyati, penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sementara lima lagi rakan mereka dalam keadaan kritikal selepas bas yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas lagi. Pemandu bas yang dinaiki mereka juga terbunuh.

Ibunya, Rokayah Mohd , 60, berkata dia menghantar Hanisah ke KLIA bersama suami dan tiga anak yang lain.

"Makcik ada terima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada dia yang memaklumkan telah selamat mendarat di sana kira-kira 6.30 petang (waktu tempatan)," katanya pilu.

"Namun kira-kira pukul 10 pagi semalam (3 September), saya dikunjungi beberapa pegawai Mara daerah yang memaklumkan anak saya terbabit kemalangan di sana," katanya.

Beliau bagaikan sudah menjangka berita buruk yang akan diterima, sebaik melihat kedatangan mereka. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain