suria

Mara Tanggung Kos Bawa Pulang Jenazah Pelajar Perubatan di Russia

KUALA TERENGGANU: Segala perbelanjaan membawa pulang jenazah pelajar perubatan Hanisah Muhd Shah yang maut dalam kemalangan jalan raya di Russia, Ahad lepas akan ditanggung oleh Mara.

Mengesahkan demikian, Pengarah Mara negeri, Abdullah Muhamad berkata jenazah pelajar Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod itu dijadual tiba di tanah air pada Khamis.

Hanisah yang berasal dari Kampung Gong Pasir, Dungun, bersama seorang lagi rakannya, Adzreen Binyati terbunuh manakala lima rakan mereka dari universiti itu cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah bas di wilayah Vladimirskaya dekat Moscow pada pukul 11 malam waktu tempatan (3 pagi waktu Malaysia).

Hanisah, pelajar tajaan Mara itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala Adzreen, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari Putrajaya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

"Bagi pihak Mara, kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta mereka bersabar di atas ujian Allah itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. Kesemua pelajar tersebut baru saja pulang bercuti Hari Raya di tanah air.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata pemergian Hanisah merupakan kerugian besar kepada Terengganu dalam bidang perubatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain