suria

Kanak-Kanak Perempuan Maut Disyaki Didera

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia selepas mengalami pendarahan dalaman yang serius, dipercayai akibat didera, di sini, Selasa.

Menurut sumber, J. Pavitra dibawa ke Klinik 1Malaysia di Bercham oleh ibunya pada pukul 5 petang semalam kerana dikatakan tidak sihat.

Bagaimanapun pegawai perubatan di klinik itu mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum melaporkan kes tersebut kepada pihak berkuasa susulan penemuan banyak kesan kecederaan baru dan lama pada badan mangsa.

Sumber itu berkata hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati mangsa mengalami pendarahan dalaman yang teruk terutama pada bahagian kepala, dipercayai akibat dipukul atau ditendang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias ketika dihubungi berkata polis mengambil keterangan ibu mangsa yang berusia 33 tahun bagi membantu siasatan. Dalam pada itu, nenek mangsa, L. Vijaya yang ditemui di pekarangan hospital, berkata mangsa adalah anak bongsu daripada empat beradik dan sudah kematian bapa sejak dua tahun lepas.

"Abangnya yang masing-masing berusia 15 dan 13 tahun tinggal di rumah anak yatim di Taiping manakala yang berusia enam tahun dibela oleh saudara sebagai anak angkat," katanya.

Mangsa pula tinggal dengan ibunya dan teman lelaki ibunya di Kampung Tawas di sini. Vijaya berkata beliau ada melihat kesan lebam dan luka pada bahagian muka cucunya pagi semalam namun diberitahu Pavitra terjatuh.

Mayat kanak-kanak malang itu dibawa pulang ke rumah neneknya di Taman Impiana Aidril di Menglembu di sini untuk pengebumian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain