suria

Majlis Agama Islam Negeri Diminta Tegas Tangani Sindiket Kutip Derma

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) diminta bertindak tegas dalam menangani sindiket mengutip derma yang mempergunakan sewenang-wenangnya nama pusat Tahfiz, madrasah dan rumah anak yatim di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu mengambil kesempatan membina kekayaan terhadap sifat pemurah rakyat di negara ini.

"Konsep kutipan jenis ini ada peruntukan di bawah enakmen negeri masing-masing, sebarang kutipan ini mesti mendapat kebenaran daripada Main atau Jain, jadi gunakan platform ini bertindak tegas terhadap sindiket ini.

"Sebarang kutipan tanpa kebenaran atau mereka buat penyamaran tindakan diambil ... mesti kuatkuasakan, kita yakin bila terus pantau kita akan kurangkan soal penipuan ini," katanya kepada pemberita di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda di sini, Sabtu.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 150 anak yatim, 50 ibu tunggal dan dua keluarga miskin. Program sumbangan itu merupakan hasil kerjasama dengan syarikat Ramly Food Processing Sdn Bhd.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ramly, Datuk Ramly Mokni.

Pada 9 Ogos lepas, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan terdapat sindiket yang berselindung di sebalik nama pusat Tahfiz, madrasah dan rumah anak yatim serta menggunakan pelajar sekolah untuk mengutip derma sehingga ke pukul 3 pagi setiap hari. - BERNAMA

Artikel Lain