suria

Dataran Merdeka Kawasan Berhimpun Bebas Unsur Politik - Nong Chik

KUALA LUMPUR: Dataran Merdeka merupakan kawasan berhimpun bebas daripada sebarang unsur politik serta sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan kekacauan, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Mengulas mengenai himpunan 'Janji Bersih' oleh 26 badan bukan kerajaan (NGO) yang dijangka diadakan pada 30 Ogos, beliau berkata tiada keperluan untuk pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan ianya diadakan di dataran tersebut seperti perhimpunan sebelum ini.

"Kerajaan sentiasa membenarkan sebarang perhimpunan diadakan selagi ianya tidak berunsurkan politik kerana kita mengamalkan sistem demokrasi namun ada batasnya dan perlu mengikut undang-undang yang telah ditetapkan pihak pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Khas Mesej daripada Perdana Menteri bersempena dengan musim sambutan Hari Raya Aidilfitri 2012.

Program berkonsep komunikasi dan perhubungan awam yang memasuki tahun keempat itu merupakan inisiatif peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyampaikan pesanan khas sempena musim perayaan melalui rakaman video dan kad ucapan kepada rakyat.

Raja Nong Chik menambah sebarang perhimpunan hanya boleh diadakan di lokasi yang telah mendapat kebenaran serta ditetapkan pihak berkuasa kerana ianya termaktub di dalam Akta Perhimpunan Aman.

"Bila-bila mereka (penganjur) mahu adakan perhimpunan sama ada pada malam hari Merdeka atau pada malam Hari Raya sekalipun kerajaan tidak akan halang tetapi lokasinya mestilah yang 'ditetapkan oleh pihak berkuasa'," katanya.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 149 penerima terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan orang kelainan upaya kawasan Parlimen Wangsa Maju. - BERNAMA

Artikel Lain