suria

Pelajar Lemas Ketika Mandi Sungai Bersama Lima Rakan

KOTA BAHARU: Keghairahan enam rakan sebaya untuk mandi di sungai berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya mati lemas di Sungai Baung, Pengkalan Chepa, di sini, petang Rabu.

Mangsa, Mohd Afiz Firti Mohammad, 13, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Pengkalan Chepa 2, ditemui lemas pada pukul 4.30 petang oleh penduduk kampung yang melancarkan gerakan mencarinya.

Lima rakannya terselamat gagal menyelamatkan mangsa, yang dikatakan tenggelam dan dibawa arus sungai, ketika asyik mandi kira-kira pukul 3.30 petang.

Ketua Operasi Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Shamsuddin Ismail, berkata beliau bersama enam anggotanya tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai pukul 4.30 petang. "Sebaik kami sampai mayat mangsa telah ditemui penduduk kampung, selepas gerakan mencarinya dilancarkan," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang mandi bersamanya, Mohd Lokman Abdul Rahim, 13, berkata Mohd Afiz Fitri mengajaknya mandi di sungai itu bersama empat rakan yang lain.

"Saya tidak menduga ajakannya itu adalah kali terakhir pertemuannya dengan saya yang akrab walaupun tinggal berjauhan," kata pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Tanjung Chat, Pengkalan Chepa, yang tinggal di Kampung Baung.

"Saya amat terkilan tidak dapat menyelamatkannya kerana saya tidak tahu berenang walaupun saya nampak dia meminta tolong. Bagaimanapun, saya meminta tolong dengan orang kampung," katanya.

Mangsa adalah anak kesebelas daripada 16 adik-beradik.

Bapa mangsa, Mohamad Abdullah, 59, ketika ditemui di tempat kejadian berkata dia tidak tahu anaknya keluar rumah dan mandi di sungai itu sehingga diberitahu seorang rakan bahawa anaknya lemas.

"Saya reda dengan pemergiannya, tetapi agak terkilan kerana tidak sempat beraya bersamanya ketika kami sedang sibuk membuat persiapan untuk meraikan Aidilfitri tahun ini," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian. -BERNAMA

Artikel Lain