suria

KPT Pelawa Anggota OIC Kongsi Kepakaran Pengajian Tinggi - Khaled

ALOR SETAR: Kementerian Pengajian Tinggi akan mengadakan forum meja bulat awal Oktober depan bagi berkongsi kepakaran dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke arah mengembalikan kegemilangan sarjana Islam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata forum itu akan membincangkan tentang hala tuju serta pelan tindakan mengembalikan kegemilangan sarjana dalam kepimpinan bidang sains dan kemanusiaan sejagat.

"Sistem pengajian tinggi di negara ini mempunyai kedudukan yang istimewa di kalangan negara Islam lain dan menjadi pusat rujukan kepada agenda pembangunan modal insan inovasi di peringkat OIC.

"Kementerian akan terus berkongsi kepakaran dan bersedia menyumbang ke arah pembangunan ummah," kata Mohamed Khaled pada sidang media sempena lawatannya ke Albukhary International University (AIU), di sini Selasa.

Beliau berkata, antara negara yang akan dijemput menyertai forum meja bulat itu adalah Iran, Turki, Mesir, Brunei dan Magribi.

Mohamed Khaled berkata dunia sememangnya mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang moderat dan progresif dan mempunyai pengalaman dalam mengendalikan sektor pengajian tinggi yang berkualiti.

Mengenai lawatan ke AIU, beliau memuji universiti berkonsepkan wakaf itu yang memberi pendidikan secara percuma kepada pelajar-pelajar terpilih di kalangan keluarga miskin dari hampir 50 buah negara.

"Kalau bagi bantuan biasa, ia mungkin tidak akan dapat mengubah (membangunkan negara), tapi apa yang dilakukan AIU, ia membantu pembangunan negara-negara lain dengan memberi pendidikan kepada pelajar miskin sebagai bantuan dalam bentuk jangka panjang," katanya.

AIU merupakan universiti yang ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Albukhary dan hingga kini mempunyai lebih 600 pelajar miskin termasuk dari negara antaranya Afghanistan, Bangladesh, Cambodia, China, Myanmar, Thailand, Uzbekistan, Sri Lanka, Pakistan, Nepal dan Kenya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memberitahu bahawa Malaysia terpilih sebagai tuan rumah bagi persidangan Menteri-menteri Pendidikan Asia Eropah awal tahun depan yang akan disertai lebih 50 negara. - BERNAMA

Artikel Lain