suria

Suspek Kes Tembak Jurujual Ditahan

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes tembakan seorang jurujual di hadapan sebuah pasaraya di Bandar Utama, Segamat pada 20 Julai lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki yang berumur 24 tahun itu berjaya ditahan kira-kira 4.30 petang Khamis lepas di Taman Desa Permai, Gemas, Segamat.

"Polis turut merampas sepucuk pistol semi auto yang berisi sembilan butir peluru hidup dan satu kotak yang berisi 15 butir peluru dan dengan penahanan itu polis percaya kes pembuhanan itu telah berjaya diselesaikan" katanya.

Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Ogos ini untuk membantu siasatan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Selain itu, suspek juga disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Dalam kejadian itu, seorang jurujual mati ditembak seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang menunggu isterinya pulang daripada bekerja di sebuah pusat hiburan di Bandar Utama.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, mangsa Asnar Yunus, 28, dari Felda Palong Timor mati setelah terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta.

Sementara itu dalam kes berasingan polis berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM100,000 dalam satu serbuan di Jalan Lebah 29 dekat Bandar Baru Seri Alam, Seri Alam di sini Rabu lepas.

Mohd Mokhtar berkata, dalam serbuan itu kira-kira pukul 10 malam itu, polis turut menahan seorang lelaki berumur 50 tahun yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penjualan bunga api dan mercun secara haram.

Mokhtar berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau telah ditahan reman selama empat hari sehingga hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1923 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Dalam satu lagi rampasan di Kluang dan Johor Baharu Selatan, pihak polis berjaya menahan enam orang berusia 18 sehingga 26 tahun yang terlibat dalam aktiviti penjualan mercun dan bunga api secara haram bernilai RM7,000. -BERNAMA

Artikel Lain