suria

Saya Layak Terima Dana Khas Selangor - Rafizi

PETALING JAYA: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli mengakui beliau layak menerima dana khas kerajaan Selangor bagi membiayai kos guaman ekoran penahanannya berhubung pendedahan akaun kewangan berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFCorp).

Menurut beliau tindakannya mendedahkan skandal berkenaan selaras dengan matlamat kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR untuk membanteras gejala rasuah dengan memperuntukan dana berjumlah RM5 juta di bawah geran Selangorku.

"Berdasarkan pemahaman saya, kerajaan negeri Selangor membuat pertimbangan agar pemberi maklumat adalah sebahagian daripada langkah membanteras rasuah.

"Mengambil kira saya adalah pemberi maklumat, jadi layak untuk memohon peruntukan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Khamis.

Pada Rabu Mohd Rafizi dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan mendedahkan penyata baki empat akaun pelanggan Public Bank Berhad berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (PFN) kepada dua petugas media, Mac lalu.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Pada prosiding sama, bekas kerani bahagian kredit Public Bank Berhad cawangan Jinjang, Johari Mohamad, 41, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Mohd Rafizi.

Ekoran itu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menyediakan dana khas sebanyak RM500,000 bagi membiayai kos guaman Mohd Rafizi.

Sementara itu mengulas mengenai kritikan banyak pihak apabila kerajaan negeri menggunakan wang rakyat untuk membiayai kos tersebut, Mohd Rafizi yang juga bekas Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor berkata beliau tidak melihat perkara tersebut sebagai satu isu yang perlu dipertikaikan.

"Saya fikir hanya secara kebetulan saya adalah ahli PKR," katanya.

Artikel Lain