suria

PAS Nafi Usaha Cantas Mat Sabu Tanding di Pendang

PETALING JAYA: PAS belum menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan bahawa Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu dihalang daripada bertanding di kawasan Parlimen Pendang, pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali turut menafikan wujudnya usaha menyingkirkan Mohamad sebaliknya menegaskan calon parti itu bagi kawasan Pendang telah pun diputuskan.

"Tapi kita belum umumkan lagi, semua calon kita belum umum lagi. Walaupun kita putus, kita tidak umum," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah blog mengenai desas-desus Mohamad ditolak oleh jawatankuasa PAS kawasan Pendang kerana tidak disenangi pemimpin tertinggi di kawasan tersebut.

Blog tersebut mendakwa PAS kawasan Pendang telah memilih calon wanita bagi kerusi berkenaan.

Penolakan Mohamad didakwa mempunyai kaitan dengan usaha mengekang 'pengaruh' Mohamad 'berkembang', khususnya di Kedah, lebih-lebih lagi di kawasan itu dianggap "berpendirian bebas dan tidak boleh dipengaruhi mana-mana pihak".

Bukan itu sahaja, penulis blog berkenaan turut mendakwa penolakan Mohamad didakwa mempunyai kaitan dengan penyokong Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana sebelum ini, Mohamad merupakan antara pemimpin PAS yang bertegas mahu Azizan berundur.

Mengulas lanjut, Mustafa yang berkata usaha cantas-mencantas tidak wujud dalam parti itu dan isu tersebut sengaja dimainkan oleh blog pro Umno.

"Saya pun tak terima apa-apa lagi, jadi bagi saya itu cuma permainan blog," katanya.

Beliau berkata bukan sahaja kerusi Parlimen Pendang menjadi tumpuan parti lawan pada PRU13, malah kerusi lain juga turut menjadi perhatian pihak tertentu.

"Yang blog main itu bukan itu saja, yang lain pun dia main juga," katanya yang menambah beliau belum menerima apa-apa maklumat berhubung dakwaan melibatkan usaha untuk menghalang Mohamad di Kedah.

"(Maklumat) yang sampai pada saya belum ada lagi, tak ada (usaha seperti itu)," katanya lagi.

Artikel Lain