suria

Pasangan Suami Isteri Ditahan Disyaki Edar Dadah

KUANTAN: Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sebuah rumah di Taman Lee Man, Raub Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata serbuan dilakukan berdasarkan maklumat orang awam, oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, kira-kira 12.30 tengah malam.

Katanya ketika serbuan dibuat, hanya isteri suspek yang berumur sekitar 30-an dan empat anaknya berusia setahun hingga empat tahun berada di rumah manakala suspek yang berusia sekitar 30-an tiada di rumah.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis heroin seberat 221.2 gram bernilai RM2,000 dan 170 pil khayal Eramin 5 bernilai RM2,550 di dalam rumah suspek.

"Susulan penemuan dadah itu, wanita dan empat anaknya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Menurut beliau, sejam kemudian, suami wanita berkenaan yang bekerja di sebuah syarikat swasta tampil dan menyerah diri di IPD Raub.

Wan Mohd Samsudin berkata ujian saringan air kencing juga mendapati lelaki terbabit positif dadah manakala isterinya yang tidak bekerja itu negatif.

Pasangan terbabit katanya kini ditahan reman selama tujuh hari manakala kesemua anak mereka dibebaskan.

"Siasatan awal mendapati lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah itu mendapat bekalan dadah dari Kuala Lumpur dan kita percaya dengan tangkapan ini kita berjaya menumpas satu sindiket dadah untuk pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain