suria

KPDNKK Jamin Bekalan Barangan Keperluan Mencukupi Untuk Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Bekalan barangan keperluan adalah mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri walaupun permintaan terhadapnya dijangka meningkat, kata Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur Abu Samah Shabudin.

Beliau memberi jaminan itu kerana KPDNKK sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan tiada masalah dalam mendapatkan barangan keperluan.

"Pada peringkat kementerian, kita telah mengadakan mesyuarat dengan pemborong, pembekal serta peruncit sebelum bulan puasa baru-baru ini. Kita turut mengambil langkah kawalan dan penguatkuasaan ke atas barangan itu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Antara barangan yang dikawal harganya ketika musim perayaan ialah ayam, daging, telur dan kelapa.

Sehubungan itu, Abu Samah menasihatkan pengguna supaya tidak bimbang dengan kemungkinan kekurangan bekalan barangan keperluan dan kenaikan harga barangan tersebut menjelang Aidilfitri.

"Sebagai contoh, kuota minyak masak untuk pengguna akan ditambah sebanyak 10 peratus pada Ramadan ini daripada kuota asal 70,000 tan metrik sebulan bagi menampung permintaan serta mengekang kenaikan harga minyak masak di pasaran," katanya.

Beliau turut mengingatkan peniaga kecil seperti peniaga pasar Ramadan supaya tidak membeli minyak masak bungkus paket bersubsidi dalam kuantiti banyak kerana ia dikhususkan untuk pengguna isi rumah sahaja.

"Mereka sepatutnya membeli minyak masak keperluan komersil. Jika tidak, ini akan menyebabkan permintaan bagi minyak masak pengguna bersubsidi meningkat," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Datuk Moehamad Izat Emir berpendapat isu kekurangan bekalan barangan keperluan setiap kali musim perayaan berpunca daripada tekanan pembekal barangan itu ke atas pemborong.

Beliau mendakwa situasi itu sering berlaku berikutan kelonggaran tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang menyorok barangan hingga isu itu dieksploitasikan.

"Saya minta KPDNKK menetapkan tindakan penguatkuasaan yang lebih keras terhadap sesiapa yang menyorok barangan keperluan semata-mata untuk mengaut keuntungan," katanya.

Namun, beliau yakin bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi.

Moehamad Izat berkata langkah drastik perlu diambil bagi membendung gejala itu selain memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati setiap kali menjelang musim perayaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain