Empat Sahabat Maut Nahas Tiga Kenderaan Di Kuantan - Semasa | mStar

Empat Sahabat Maut Nahas Tiga Kenderaan Di Kuantan

KUANTAN: Empat sahabat maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Km18, Jalan Kuantan-By Pass, malam Sabtu.

Dalam kejadian 11.15 malam itu, pemandu dan tiga penumpang Proton Wira maut selepas kenderaan itu melanggar sebuah treler yang keluar dari simpang sebelah kiri sebelum sebuah kereta jenis Honda merempuh bahagian belakang Proton wira berkenaan.

Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Mohd Rizal Abdullah, ketika kejadian semua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Pelabuhan Kuantan.

"Tiga mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala seorang lagi maut (kira-kira 6 pagi ini) ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya di sini, Ahad.

Mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta berkenaan Mohd Shahidan Shaari, 26, Mohd Shahafiz Othman, 22, Muhd Taufik Abd Rahman, 20, dan Ahmad Nazrin Hafizi Abdul Latif, 19. Keempat-empat mereka berasal dari Terengganu.

Mohd Rizal berkata pemandu sebuah lagi kereta dan pemandu treler yang membawa muatan bijih besi itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu di BENTONG, sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka berusia tiga tahun parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta di Km7.5 Jalan Karak-Kuala Pilah, dekat Sri Telemong, Bentong, lewat petang Sabtu.

P.Kiru, 21, seorang mekanik dan isterinya, B.Anita, 27, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak mereka, K.Thirumugilan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, katanya.

Mohd Rizal berkata dalam satu lagi kemalangan, seorang warga emas, Jenab Merah, 74, maut selepas dilanggar sebuah motosikal ketika sedang melintas jalan di Km3, Jalan Temerloh-Mentakab, dekat Kampung Gantok pada 4.30 petang Sabtu.

Katanya wanita itu yang cedera parah di kepala dan badan, disahkan meninggal dunia pada kira-kira 8 malam ketika sedang dirawat di Hoshas manakala penunggang motosikal itu, Azizi Abd Halim, 46, seorang guru, hanya cedera ringan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Eksekutif Wanita TV9 Ditemui Mati

Artikel Berkaitan

Artikel Lain