suria

Polis Pulau Pinang Gagalkan Percubaan Lumba Haram Di Padang Kota

GEORGE TOWN: Polis menahan lebih 100 Mat Rempit yang berusia 16 hingga 25 tahun dalam Ops Kepung di Padang Kota Lama di sini awal pagi Sabtu, yang sekaligus berjaya menggagalkan percubaan lumba haram yang diatur di kawasan tersebut.

Kesemua yang ditahan termasuk para penontonnya dibebaskan selepas polis mengambil keterangan daripada mereka.

Ketua operasi tersebut Inspektor Muhammad Najib Zulkifli berkata operasi dua jam yang bermula pukul 2.30 pagi itu melibatkan 30 anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

"Hasil soal-siasat kumpulan Mat Rempit ini, mereka memberi alasan mereka hanya meronda di lokasi berkenaan sementara menunggu waktu bersahur," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Muhammad Najib berkata polis bertindak berdasarkan maklumat orang awam yang mengatakan para remaja berkenaan menjalankan kegiatan mereka beberapa minggu lepas termasuk sepanjang Ramadan ini.

Beliau berkata ada antara remaja terbabit lari meninggalkan motosikal masing-masing begitu sahaja selepas menyedari kehadiran polis.

"Terdapat juga beberapa orang yang nekad melarikan diri dengan melawan arus jalan raya tetapi cubaan mereka gagal kerana kawasan itu telah dikepung," katanya.

Sebanyak 30 saman dikeluarkan melibatkan kesalahan ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi, tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan seumpamanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain