suria

PPDNKK Johor Rampas 30,000 Kilogram Minyak Masak

JOHOR BAHARU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor merampas 30,000 kilogram minyak masak bersubsidi dipercayai untuk dijual kepada pihak industri, dalam serbuan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Ulu Tiram, di sini Rabu.

Pengarahnya Ayub Abd Rahman berkata minyak masak terbabit diisi dalam sebuah lori tangki dan nilai kesemua rampasan termasuk sebuah lori serta tangki kosong dianggar RM125,000.

"Semasa serbuan kira-kira 6.30 pagi tadi, didapati premis berkenaan telah kosong dan yang tinggal hanya timbunan botol dan peket minyak masak kosong yang kosong.

"Siasatan awal mendapati kilang ini dijadikan pusat mengumpul minyak masak peket dan botol sebelum dibuka kembali untuk dijual kepada pihak industri," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.

Katanya berdasarkan alamat pada peket dan botol minyak masak kosong itu, beliau percaya bahan terbabit dibawa masuk dari luar Johor dan dijual dengan harga lebih murah kepada pihak industri berbanding RM3.20 sekilogram yang ditetapkan kerajaan. Kilang itu dipercayai telah beroperasi hampir tiga bulan dan menjalankan kegiatan mereka pada waktu malam bagi mengelak daripada dikesan, katanya.

Beliau berkata pihaknya masih mengesan pemilik sebenar kilang tersebut bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Ayub berkata pihaknya kini memantau beberapa kilang di negeri ini yang dipercayai melakukan kegiatan sama untuk dikenakan tindakan. - BERNAMA

Artikel Lain