suria

Polis Serbu Pusat Judi Komputer, Tahan Tiga Orang

KOTA BAHARU: Polis menahan tiga suspek dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian berkomputer dan merampas 33 unit komputer termasuk cip bernilai RM100,000 dalam beberapa serbuan di sekitar bandar ini, sejak dua bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata tiga suspek itu ditahan semalam apabila polis membuat serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Tok Kenali, Kubang Kerian pada pukul 3.30 petang.

"Polis turut merampas 11 unit komputer bersama cip yang digunakan untuk perjudian dalam serbuan di premis itu semalam," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata sebelum ini, polis turut menyerbu dua premis perniagaan di Jalan Kebun Sultan serta Wakaf Che Yeh di sini, dan merampas 22 mesin judi bernilai RM50,000.

"Berdasarkan kepada modus operandi dan komputer yang digunakan, kita percaya ia dijalankan oleh kumpulan sama dalam kes di Jalan Tok Kenali," katanya.

Beliau berkata kejayaan serbuan itu adalah hasil maklumat daripada orang ramai. Azham berkata pihaknya akan mempertingkatkan gerakan bagi mengesan dan membanteras kegiatan perjudian tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain