suria

Kanak-Kanak Maut, Ibu, Adik Cedera Parah

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas kereta yang dinaiki bersama keluarganya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Km37, Jalan Temerloh-Mayam berhampiran Bera pada Isnin.

Mohamad Aysisy Mohd Rizail mati di tempat kejadian.

Ibunya Salma Mohd Sadali, 21, dan adik perempuannya Qasih Nur Syifa' Mohd Rizail yang berusia setahun cedera parah dalam kemalangan 2.40 petang itu.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, bapa mangsa Mohd Rizail Abd Kadir, 27, seorang anggota tentera, yang memandu kereta jenis Proton Pesona itu turut cedera.

"Kejadian berlaku apabila lori yang datang dari arah Mayam ke Temerloh dikatakan terbabas dan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Lori berkenaan dikatakan hilang kawalan selepas dipintas sebuah lori balak. Kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan kemudiannya bertembung dengan lori berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. "Pemandu lori terbabit Mohamad Mazani Yusof, 27, yang berasal dari Felda Bukit Goh cedera ringan dan dirawat di klinik Bandar Jengka 32," kata Mohamed Fauzi.

Dalam satu lagi kejadian malam tadi, seorang pejalan kaki Mohd Nawi Jafar, 58, turut maut dalam kejadian langgar lari di Km63, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran.

"Mangsa dipercayai dilanggar sebuah lori pada 9.45 malam. Mangsa kemudiannya dihantar orang awam ke Klinik Kesihatan Maran dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di situ," katanya.

Mohamed Fauzi meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil membantu siasatan polis.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Artikel Lain