suria

Dua Anggota Polis Nyaris Maut Dihimpit Kereta Cuba Lindungi Lori Bawa Mercun

KUALA LIPIS: Dua anggota polis bermotosikal yang sedang membuat rondaan bagi mencegah jenayah nyaris maut selepas dihimpit dan cuba dilanggar sebuah kereta bagi 'melindungi' sebuah lori yang membawa muatan mercun, Rabu.

Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, kedua-dua anggota polis berpangkat koperal itu yang menaiki sebuah motosikal cuba memberhentikan sebuah lori yang sedang menghala ke Kampung Bungor, dekat sini, untuk membuat pemeriksaan di kawasan Felda Kechau.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki tiba-tiba memintas dan bertindak menghimpit anggota polis terbabit, dipercayai dengan niat untuk menyebabkan mereka terjatuh.

"Anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis itu terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara.

"Kereta terbabit bagaimanapun berterusan menghimpit dan cuba melanggar anggota polis terbabit menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah kereta terbabit," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Lori yang dipandu seorang lelaki bersama seorang kelindan serta kereta terbabit kemudiannya berjaya melepaskan diri.

Hasil siasatan, polis menemui lori terbabit yang ditinggalkan di satu kawasan kebun getah di Kampung Jeram Landak, dekat sini pada pukul 9.45 malam tadi dan menemui 83 kotak besar mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api.

Abdul Razak berkata pada pukul 12.45 tengah hari tadi, polis menerima maklumat dari Balai Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan berhubung seorang lelaki yang cedera akibat terkena serpihan peluru.

"Lelaki terbabit cuba mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas, Kelantan. Polis Pasir Mas kemudian menahan lelaki terbabit dan dua rakan yang membawanya ke hospital berkenaan," katanya.

Beliau berkata tiga lelaki berusia 23 hingga 33 tahun itu dihantar ke Balai Polis Daerah Kuala Lipis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian sebelum itu, di sini.

"Ketiga-tiga mereka kini ditahan reman di sini untuk siasatan lanjut," katanya bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain