suria

Rumah Bekas Menteri Dipecah Masuk, Kerugian Dianggar RM50,000

PETALING JAYA: Banglo isteri pertama Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob di Kelana Jaya di sini, dipecah masuk awal pagi ini menyebabkan kerugian kira-kira RM50,000.

Ketika kejadian pada pukul 5.40 pagi itu, Puan Sri Faizah Shuib, 40, dan seorang pembantu rumah rakyat Indonesia sedang tidur di bilik masing-masing.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata tiga lelaki dipercayai rakyat Indonesia bertindak mengikat pengawal keselamatan di rumah itu yang menyedari kehadiran mereka di pintu belakang rumah.

"Mereka yang memakai penutup muka, juga mengikat Puan Sri Faizah menggunakan kabel peti sejuk," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini pada Rabu.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka menggeledah banglo itu dan melarikan barangan kemas serta jam tangan yang dianggar bernilai RM50,000.

Sementara itu pengawal keselamatan, Mustafa Mat Nor, 63, berkata beliau terlihat ketiga-tiga lelaki itu memasuki rumah dari pintu belakang ketika membuat rondaan di dalam kawasan rumah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain