suria

Penganggur Didakwa Samun Wanita

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan menyamun telefon bimbit seorang wanita, Jumaat lepas.

Muhammad Sophan Idris, 23, dari Kampung Kerinchi di sini didakwa menyamun telefon bimbit bernilai RM1,000 milik Tham Chia Yen, 27, di Lorong Jalan Kaki Menara IGB, Mid Valley, Brickfields, di sini pada 7.22 petang 13 Julai lepas.

Dia yang ditangkap pada hari yang sama, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia tidak bekerja dan tinggal bersama ibunya.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 September untuk sebutan. -BERNAMA

Artikel Lain