suria

Ketepi Perbezaan Politik & Sambut Kemerdekaan Bersama-Sama - Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyeru semua pihak mengetepikan perbezaan fahaman politik dalam sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini demi semangat cintakan sebuah negara yang berbilang bangsa.

"Apa salah kiranya jika ketepikan perbezaan politik untuk sementara dan sambut Hari Kemerdekaan sebagai seorang rakyat Malaysia. Habis sahaja sambutan nanti teruskanlah untuk berpolitik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan ke tapak pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2012 di Little India, Brickfields di sini malam Isnin.

Beliau berkata dengan menyertai sambutan Hari Kemerdekaan bersama-sama, ia jelas menunjukkan semua pihak berada di bawah naungan dan lembayung bendera Malaysia walaupun berbeza fahaman politik.

Rais berkata semua negeri dijangka menyertai sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 yang bertemakan '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' mengikut perancangan dan program yang telah diatur masing-masing. Beliau berkata pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2012 akan diadakan serentak di tiga tempat bermula esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan sambutan di Little India, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Baru manakala Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai di Petaling Street. Tiga tempat itu mewakili tiga kaum utama di negara ini yang mana Brickfields mewakili masyarakat India, Jalan Petaling (Tionghua) dan Kampung Baru (Melayu).

Katanya dijangkakan ratusan ribu pengunjung akan menyertai ketiga-tiga acara tersebut dan kempen kibarkan Jalur Gemilang akan berterusan sehingga 31 Ogos termasuk pada bulan Ramadan ini.

"Tidak salah kibar Jalur Gemilang pada bulan puasa di rumah kediaman, pejabat, kenderaan awam dan peribadi, pusat peranginan dan sebagainya," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Lain