suria

Modul & Kurikulum PLKN Masih Relevan - Abdul Hadi

BALIK PULAU: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) pada Khamis membidas sesetengah pihak yang dengan mudah mendakwa modul dan kurikulum Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ketinggalan zaman dan tidak relevan.

Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata relevan atau tidak modul hanya boleh ditentu menerusi kajian.

"Kita tidak boleh hanya mengatakan ianya tidak relevan kalau tidak buat sebarang kajian.

"Hampir setiap pengambilan baru kita memberi satu input baru dalam modul-modul tersebut. Contohnya, pada masa sekarang kita telah mulakan projek perintis untuk modul kenegaraan di 14 kem PLKN," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau yang ditemui pemberita selepas mengiringi isteri Menteri Pertahanan, Datin Seri Hamidah Khamis melawat kem PLKN White Resort di sini, mengulas kenyataan Anggota Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong dari DAP yang mahu Menteri Pertahanan mengkaji semula PLKN yang didakwanya menggunakan modul dan kurikulum ketinggalan zaman.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata JLKN tidak jumud serta sentiasa menambah baik modul PLKN dan antara subjek terbaharu ialah simulasi pilihan raya dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendedahkan pelatih dengan konsep, proses dan pelaksanaan pilihan raya.

Katanya JLKN turut bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam membuat pemeriksaan Indeks Jisim Badan pelatih yang merupakan pembaharuan pada modul fizikal PLKN.

Abdul Hadi berkata kajian terperinci program PLKN yang dilakukan Universiti Kebangsaan Malaysia melibatkan 60,000 responden turut membuktikan modul dan kurikulum PLKN itu masih relevan dan penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa.

Mengenai perkara berkaitan, beliau meminta semua bekas pelatih PLKN agar menyertai Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) bagi membolehkan mereka memanfaatkan ilmu yang diperolehi ketika PLKN. - BERNAMA

Artikel Lain