suria

Polis Buru Tujuh Suspek Pecah Dan Curi Mesin Memproses Endoskop

KUALA LUMPUR: Polis memburu tujuh suspek dipercayai warga asing yang disyaki terlibat dalam dua kejadian memecah dan mencuri mesin memproses endoskop yang melibatkan kerugian RM4.6 juta.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata tujuh suspek yang turut dianggotai wanita itu, disyaki memecah dua mesin mengandungi 15 aksesori endoskop di Hospital Tung Sin, Jalan Pudu pada 12 Jun lepas, mengakibatkan kerugian RM600,000.

Tiga lagi mesin yang mengandungi 22 jenis aksesori endoskop turut dipecah dan dilarikan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 21 Jun lepas membabitkan kerugian RM4 juta.

"Kita mengesan kesemua suspek tersebut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedua-dua tempat kejadian. Sehubungan itu, polis menubuhkan pasukan khas menjejaki mereka selain menyiarkan gambar mereka yang terlibat," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Khairi berkata polis juga bekerjasama dengan kastam, imigresen, Polis Antarabangsa (Interpol) dan pembekal peralatan mesin itu untuk membantu siasatan.

Katanya kumpulan itu menggunakan modus operandi yang sama dalam dua kejadian tersebut dengan menjadikan hospital sebagai sasaran utama.

"Mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dalam mengenal pasti kebolehgunaan dan membuka peralatan endoskop yang dicuri kerana hanya mengambil beberapa bahagian yang mempunyai nilai.

"Mereka juga dipercayai bergerak secara berkumpulan dengan menyewa kereta jenis Perodua Myvi dan van serta tinggal di hotel untuk memudahkan kegiatan tersebut," katanya.

Khairi berkata suspek juga menyamar sebagai pesakit untuk mengenal pasti lokasi mesin itu disimpan sehari sebelum mesin itu dipecah dan tidak menolak kemungkinan, kejadian itu melibatkan 'orang dalam'.

"Kesemua mereka juga dipercayai memecah masuk hospital berkenaan di pintu belakang dan menjalankan 'operasi' dari pukul 10 hingga 12 tengah malam dan dipercayai mesin-mesin ini dijual di pasaran gelap dan antarabangsa termasuk di kolej dan universiti perubatan," katanya.

Beliau berkata polis ketika ini sedang meneliti rekod kemasukan pesakit di kedua-dua hospital berkenaan dan setakat ini, enam individu termasuk pengawal keselamatan dan kakitangan hospital itu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mengenali atau terlihat suspek diminta menyalurkan maklumat dan menghubungi talian Rakan Cop 03-21159999 atau menghubungi pegawai pasukan khas, Supt Yahya Abdul Rahman di 019-4708946, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain