suria

Isu Pelajar DiHukum Pakai Skirt Pendek: Sekolah Sudah Beri Panduan Sebelum Kejadian

MELAKA: Pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di sini yang dihukum kerana memakai skirt pendek dalam satu majlis di luar kawasan sekolahnya baru-baru ini sebenarnya telah pun diberi ingatan supaya memakai pakaian yang sesuai dengan majlis.

Pengetua Sekolah Menengah Perempuan Methodist (MGGS), Chong Chew Yoong berkata, dua orang guru sebelum ini telah pun memberi peringatan yang jelas kepada Stephanie Tan Joo Sing agar mengenakan pakaian yang sesuai pada majlis berkenaan.

Ini kerana katanya, pelajar itu mewakili sekolahnya pada majlis mengutip dana untuk sebuah pertubuhan.

Kata pengetua itu lagi, pihak sekolah mengambil tindakan yang sepatutnya setelah mereka menerima aduan mengenai pakaian pelajar itu.

“Jadi adalah tidak benar sama sekali yang pelajar itu dikenakan tindakan tanpa sebarang amaran atau panduan terlebih dahulu tentang etika berpakaian untuk majlis berkenaan,” ujarnya ketika dihubungi.

Pada Jumaat, media massa melaporkan seorang pelajar tingakatan Lima telah digantung sekolah selama seminggu kerana dia memakai skirt pendek ketika menghadiri satu majlis amal yang diadakan di luar sekolah berkenaan.

Stephanie Tan Joo Sing telah dihukum tidak dibenarkan menghadiri kelas dari 18 hingga 25 Jun lalu selepas dia didapati bersalah kerana memakai skirt pendek pada majlis itu yang berlangsung Mac lalu.

Masalanya kata Chong, Stephanie telah pun dimaklumkan mengenai cara berpakaian pada hari itu tetapi presiden Kelab Leo sekolah berkenaan tidak mematuhi arahan yang diberikan.

“Tindakannya itu samalah seperti mengingkari apa yang diarahkan oleh gurunya dan oleh yang demikian tertakluk kepada peraturan dan tindakan disiplin sekolah,” ujar Chong lagi.

Tegas Chong lagi, tindakan disiplin yang dikenakan ke atas pelajar itu mendapat sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah.

Malah kata Chong, pihak sekolah pernah mengambil tindakan yang sama ke atas empat pelajar lain sebelum ini pada tahun 2008 atas kesalahan yang serupa.

Sementara itu Exco Pendidikan Negeri, Datuk Gan Tian Loo bersedia menjadi orang tengah untuk menyelesaikan isu tersebut secara baik.

Artikel Lain