suria

Kumpulan Samun Menyamar Polis Tumpas

NUSAJAYA: Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun yang menyamar sebagai polis ketika melakukan jenayah itu dengan tertangkapnya seorang daripada anggota kumpulan itu di Kampung Tiram Duku, Tanjung Kupang di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Nor Hashim Mohamad berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditangkap semasa dia dan dua rakannya sedang menyamun sebuah rumah di kampung itu kira-kira pukul 1.10 pagi.

Katanya, ketiga-tiga mereka telah melarikan diri sebaik tiga anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang tiba di tempat kejadian, bagaimanapun anggota polis berkenaan yang mengejar mereka berjaya menangkap suspek kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian manakala dua rakannya itu sempat memboloskan diri.

"Sejurus tiba di tempat kejadian, tiga anggota kita mendapati dua mangsa, lelaki dan wanita telah diikat, manakala tiga suspek melarikan diri sebelum salah seorang daripada mereka berjaya ditahan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi kumpulan yang dipercayai bergiat aktif sejak empat bulan lalu dan terlibat dalam lima kes sebelum ini adalah menyamar sebagai polis dan mengikat mangsa sebelum melakukan samun.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin dan mempunyai lima rekod jenayah lampau serta merupakan orang yang dikehendaki bersabit kes dadah.

Lelaki tersebut kini ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama 20 tahun dan sebatan.

Katanya, polis juga merampas sebuah kereta dan pelbagai barangan yang dipercayai digunakan kumpulan itu untuk menyamun.

Dalam kes berasingan, Nor Hashim berkata, polis turut berjaya menahan lima lelaki berusia antara 21 hingga 27 tahun yang disyaki terlibat dengan beberapa kejadian kes pecah rumah di sekitar Kangkar Pulai.

Katanya, kesemua mereka ditahan pada 5.40 petang semalam di sebuah pangsapuri hasil maklumat awam. Polis berjaya menemui beberapa barangan curi, antaranya sebuah televisyen dan satu tangki minyak motosikal jenis Kawasaki KR150.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain