suria

MCA Sasar Lulus Pinjaman Pendidikan RM7 Juta Tahun Ini

SEREMBAN: MCA mensasarkan untuk meluluskan pinjaman pengajian di bawah Skim Pinjaman Pendidikan 1MCA sebanyak RM7 juta pada tahun ini.

Anggota Majlis Tertinggi MCA Pusat, Loh Seng Kok berkata, setakat ini MCA telah meluluskan pinjaman pengajian di bawah skim tersebut sebanyak RM3.84 juta.

"Sejak penubuhan 1MCA Education Loan Scheme pada September 2011 hingga sekarang MCA telah meluluskan pinjaman pengajian kepada 109 permohonan dari semua kaum berjumlah RM3.84 juta.

"Daripada 109 orang penuntut yang mendapat pinjaman pengajian itu, 18 orang adalah penuntut yang mengikuti pengajian ijazah lanjutan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek RM50,000 di bawah skim tersebut kepada seorang penuntut perubatan Universiti Zagazig, Mesir, Nur Izzah Mohamed Fuzi, 20, di sini, Rabu.

Pada majlis itu, Nur Izzah diwakili ibunya Shuhana Ahmad, 52. Turut hadir ialah Setiausaha MCA Negeri Sembilan, Datuk Lim Fui Ming.

Pinjaman pengajian itu merupakan kolaborasi antara MCA dan Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi) yang mensasar untuk menyediakan pinjaman kepada penuntut yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, Shuhana mengucapkan terima kasih kepada MCA yang sedia membantu pengajian anaknya.

"Saya bersyukur kerana dengan pinjaman ini akan dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi anak saya yang kini sedang menuntut di Zagazig University, Mesir, dalam bidang perubatan," katanya yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

Shuhana yang tinggal di Taman Temiang Jaya di sini berkata Nur Izzah adalah akan bongsu daripada tiga beradik dan sedang mengikuti tahun dua pengajiannya.

"Pengajian anak saya di universiti tersebut adalah selama enam tahun dan yuran pengajiannya setiap tahun ialah sebanyak RM24,000," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain