suria

KPKK Akan Giatkan Usaha Jejak Penduduk Perlukan Bantuan - Rais

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) akan mempergiat usaha mencari penduduk yang tinggal di kawasan daif bagi dibantu di bawah projek Prihatin 1Malaysia, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata projek yang dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu termasuk membina rumah murah untuk golongan yang tidak mampu selain membaik pulih rumah yang rosak.

Katanya menerusi Prihatin 1Malaysia, setiap projek yang dilaksanakan dilakukan sendiri oleh sukarelawan Jasa dan ia selaras dengan konsep kasih sayang yang ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Barisan Nasional (BN) jauh berbeza dengan pembangkang yang hanya tahu bercakap, semoga ini dapat dilihat oleh rakyat dan diiktiraf dalam bentuk sokongan terhadap kerajaan BN," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Prihatin 1Malaysia "Sentuhan Mengubah Kehidupan" di Ladang Kam Seng, Gombak dekat sini, Isnin.

Menurut Rais, sejak projek Prihatin 1Malaysia diperkenal tahun lalu, kira-kira 400 buah rumah dibina dan dibaik pulih di seluruh negara.

Terdahulu, Rais menyerahkan kunci rumah baharu kepada enam penduduk di ladang berkenaan yang terbabit dalam kebakaran pada 19 November 2011.

Pembinaan rumah di bawah projek Prihatin 1Malaysia itu dimulakan pada bulan lalu.

Setiap sebuah rumah berharga RM15,000 yang dilengkapi bekalan eletrik dan air.

Rais juga turut meluangkan masa selama setengah jam melawat tapak projek pembangunan Pusat Kebudayaan Rumah Gadang Minangkabau di Sungai Pusu, Gombak Menyentuh cadangan debat antara ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan perdana menteri, Rais berkata ia tidak perlu diadakan.

Beliau berkata berdebat bukan satu tindakan yang menguntungkan kerana ia hanya akan mengakibatkan tuduh menuduh dan sebagainya.

"Kalau kita berdebat 50 jam pun kita tak dapat apa-apa, tapi apa yang penting ialah kita buat dan sumbangkan sesuatu pada rakyat untuk mereka lihat," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain