suria

Pemandu Trak Penunda Ditemui Mati Dengan Kesan Tikaman

BUKIT MERTAJAM: Mayat seorang pemandu trak penunda ditemui dengan beberapa kesan tikaman dipercayai dibunuh sekumpulan lelaki di Jalan Song Ban Kheng, di sini, awal pagi Sabtu.

Seorang jurucakap polis berkata mangsa K. Meena, 40, dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan berkenaan kira-kira pukul 3 pagi tadi.

"Bapa kepada dua anak itu dikatakan keluar minum bersama beberapa rakannya di Seberang Jaya, dekat sini, pada pukul 10 malam tadi sebelum dihubungi seseorang yang mahukan perkhidmatan tunda kereta," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Katanya mangsa bergegas ke tempat kejadian di Taman Kimsar, dekat sini dan sebaik tiba terdapat sebuah kereta bersama sekumpulan lelaki di situ.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dibawa menaiki kereta jenis Proton Waja yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum mayatnya ditemui di tepi jalan," katanya.

Jurucakap itu berkata selain kesan tikaman dengan objek tajam, dua jari mangsa juga turut dipotong.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk di bedah siasat dan kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis masih mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan kita minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain