suria

Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik

SUNGAI PETANI: Seorang bekas pekerja am Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) maut setelah terkena renjatan elektrik di rumahnya di Kampung Telok, Sungai Layar dekat sini Khamis.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi ketika mangsa, Arshad Yusop, 54, dikatakan sedang membaiki bot di halaman rumahnya.

Ketika kejadian, Arshad yang mengambil upah memasang lantai bot fiber bersendirian manakala ahli keluarganya ke pasar.

Isterinya, Robeah Ahmad, 52, berkata, dia menyedari kejadian selepas pulang dari pasar pagi bersama anak bongsunya kira-kira pukul 10.30 pagi.

"Pada mulanya, saya tak perasan dan terus masuk ke dapur kerana ingatkan arwah sedang berehat. Namun, saya kemudian dipanggil oleh anak.

"Semasa saya keluar tengok, suami saya berada dalam keadaan tersandar pada dinding (bot) dan peralatan elektrik dalam keadaan berselerak," katanya ketika ditemui pemberita di bilik mayat Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini Khamis.

Robeah berkata, dia dan anak bongsunya daripada empat beradik cuba memanggil mangsa berkali-kali tetapi tidak disapa.

Katanya, hairan dengan sikap mangsa, dia kemudian meminta jiran untuk datang membantu.

"Namun, apabila ditarik keluar (dari dalam bot), suami saya didapati sudah tidak bernyawa lagi," katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Penghulu Him dekat sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain