Mahkamah Tolak Rayuan Pelajar Berhubung PPSMI - Semasa | mStar

Mahkamah Tolak Rayuan Pelajar Berhubung PPSMI

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan yang dikemukakan empat pelajar, termasuk anak lelaki bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, terhadap satu keputusan mahkamah bahawa pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris tidak bercanggah dengan perlembagaan.

Dalam keputusan sebulat suaranya, panel tiga hakim, yang diketuai Hakim Datuk Wira Low Hop Bing, hari ini memutuskan bahawa rayuan itu bersifat akademik kerana hakim perbicaraan, Hakim Mohd Zawawi Salleh pada 7 Mei, 2010, tidak berpeluang memiliki pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

Pada 4 November tahun lepas, kementerian itu memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Dengan adanya dasar baru itu bagi menggantikan dasar lama, mahkamah berpendapat bahawa keputusan perayu untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi, hanya bersifat akademik.

"Kami juga tidak memberi pendapat tentang dasar baru itu. Dengan ini, kami mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan ini," kata Low.

Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, bagaimanapun tidak mengarah bayaran kos.

Terdahulu, peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili perayu, berhujah bahawa rayuan berkenaan masih melibatkan beberapa isu hidup kerana pekeliling terbaru yang dikeluarkan kementerian berkenaan tidak memansuhkan sepenuhnya pengajaran dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa Inggeris di semua peringkat, dengan serta-merta.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu mahkamah bahawa kementerian itu tidak dapat melaksanakan perubahan di semua peringkat dengan serta-merta kerana ia hanya boleh dilakukan secara beransur-ansur.

Pada 2010, Mohd Zawawi membuat keputusan bahawa pekeliling mengenai pelaksanaan dasar berhubung pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular (sekolah Cina dan Tamil), tidak bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 20 Jan 2006, empat pelajar dari Perak itu memfail saman untuk mendapatkan perisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sejak 2003, bercanggah dengan perlembagaan, tidak sah dan tidak berkesan.

Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar, Mohammad Fadzil Nor Mohd Rosni, Nur Najihah Muhaimin dan Syazaira Arham Yahya Ariff juga memohon mahkamah memerintah responden, kerajaan Malaysia, kembali mengamalkan dasar sebelumnya, sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang bertulis.

Ketika memfail saman pemula dengan diwakili bapa masing-masing, pelajar berkenaan mendakwa pengajaran dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris tidak mengambil kira peruntukan undang-undang, terutama Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa

Kebangsaan 1967 dan Akta Pelajaran 1996. Mereka mendakwa akibat pelaksanaan dasar itu, mereka dinafikan hak sebagai pelajar untuk mempelajari dua mata pelajaran itu dalam bahasa kebangsaan, sedangkan mereka berhak berbuat demikian. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

Artikel Lain

Wenger dapat tugas baharu di Fifa