suria

Kecurian Kabel TNB Punca Gangguan Air Di Kuala Krai

KOTA BARU: Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan bahawa gangguan bekalan air bersih di beberapa kawasan di sekitar Kuala Krai sejak Ahad adalah berpunca daripada kecurian kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Loji Rawatan Air Pahi.

"Operasi loji itu dihentikan buat sementara waktu untuk kerja-kerja pembaikian kabel TNB yang rosak. Kerja-kerja pembaikian yang bermula Isnin dijangka mengambil masa lapan hingga 10 jam dan bekalan air dijangka pulih dalam tempoh 24 jam," kata Eksekutif Khidmat Pelanggan AKSB, Hazwan Hassan.

Antara kawasan yang terlibat ialah Batu Jong, Sempadan Machang-Kuala Krai, Telekong, Kampung Pek, Chenulang, Kampung Enggong, Taman Teknik, Taman Daskoh dan sekitar Guchil.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Pusat Info AKSB melalui talian 1300-88-2572. - BERNAMA

Artikel Lain