suria

Rakyat Harus Syukuri Bantuan Pendidikan Kerajaan Menerusi PTPTN - Musa Aman

KOTA KINABALU: Rakyat negara ini, termasuk di Sabah, harus berterima kasih kepada kerajaan yang memperuntukkan sejumlah besar wang bagi sektor pendidikan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata menerusi pembiayaan PTPT Nitu, ramai golongan muda berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi iaitu 227,000 pelajar berbanding sebelum tabung itu diwujudkan iaitu dalam lingkungan 27,000 orang pada pertengahan 1990-an.

"Ini adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam membela semua golongan masyarakat termasuk golongan belia dan pelajar," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan wang pendahuluan pembiayaan PTPTN di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Likas di sini, Sabtu.

Beliau berkata dengan pembiayaan PTPTN, ibu bapa yang dahulunya terpaksa menjual tanah, rumah atau meminjam dari bank, kini tidak lagi risau apabila dibebankan dengan soal itu.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya menghargai usaha murni PTPTN dalam memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada siswa dan siswi yang layak mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Ini selaras dengan wawasan kerajaan untuk membolehkan setiap pelajar meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dengan menyambung pelajaran ke IPT dan IPTS," katanya.

Musa berharap pelajar yang menerima wang pendahuluan itu memanfaatkan peluang memasuki universiti dan menjadi siswazah yang cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi. -BERNAMA

Artikel Lain