suria

Lelaki Warga India Ditahan Di KLIA, Disyaki Cuba Seludup Dadah RM1.2 Juta

SEPANG: Seorang lelaki rakyat India yang cuba menyeludup dadah seberat 5.17 kilogram bernilai RM1.2 juta ke negara ini dengan menggunakan periuk ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Selasa lepas.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan ketika cuba melepasi kawalan Kastam pada pukul 8.45 pagi setelah tiba dari India.

Pengarah Kastam KLIA, Badaruddin Mohamed Rafik berkata, hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu, pihaknya menemui serbuk putih yang setelah diuji didapati dadah jenis Methapetamine.

"Lelaki itu membawa 24 periuk yang diisi ke dalam dua kotak kertas bersama mangkuk bertudung, cawan dan bekas menyimpan bertangkai. Kesemua periuk itu mempunyai dua lapisan dan di antara dua lapisan itu disorok satu bungkusan kain yang mengandungi serbuk putih," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata, kira-kira 12 jam selepas penahanan lelaki India itu, pihaknya menahan seorang lelaki rakyat Nigeria berusia 26 tahun dan merampas dadah jenis Methapetamine seberat 1.1 kilogram.

Mohamed Rafik berkata, lelaki yang merupakan penuntut di institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur itu ditahan setelah tiba dari Doha apabila imbasan terhadap beg yang dibawanya mendapati imej yang meragukan.

"Apabila pemeriksaan dilakukan didapati bahagian belakang beg telah digam rapi dan apabila dibuka terdapat empat ketulan karbon biru kehitaman dan apabila diperiksa terdapat serbuk putih," katanya.

Badaruddin berkata, kedua-dua kes itu masih dalam siasatan dan mereka ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Sementara itu, Badarudin berkata, seorang rakyat Nigeria berusia 39 tahun ditahan pada pukul 9 malam 5 Mei lepas dan pihaknya merampas satu kilogram bernilai RM250,000.

Dadah itu ditemui di satu ruangan di bahagian sisi beg tarik yang dibawa lelaki yang baru pertama kali memasuki Malaysia itu, katanya sambil memberitahu bahawa lelaki masuk ke negara ini sebagai pelancong itu kini direman selama 14 hari. - BERNAMA

Artikel Lain