suria

Selangor Bakal Hadapi Krisis Air Dua Tahun Lagi - Rozali

PETALING JAYA: Selangor bakal berdepan masalah kekurangan bekalan air yang serius dalam tempoh dua tahun lagi jika kerajaan negeri tidak mengambil sebarang langkah mengatasinya dari sekarang.

Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Tan Sri Rozali Ismail berkata Syabas telah mengemukakan maklumat terperinci berhubung kawasan yang kini dilanda masalah air yang serius kepada semua pihak terlibat termasuk kerajaan negeri.

"Kalau kerajaan negeri tidak percaya, mereka boleh 'challenge' (cabar) data-data ini. Hantarlah mana-mana konsultan dari luar untuk periksa data air yang kita proses.

"Fakta ini tidak boleh dinafikan. Kalau keadaan dah bertambah teruk masa itu nanti, nak cakap apa pun pada rakyat sudah tiada gunanya," katanya kepada pemberita pada program migrasi ke meter individu di Pangsapuri Desa Perangsang, Taman Medan di sini, Sabtu.

Beliau meminta kerajaan Selangor supaya segera menyelesaikan isu itu termasuk dengan melaksanakan projek Loji Langat 2 dengan Kerajaan Persekutuan, yang bertujuan menyalurkan air mentah proses dari Pahang ke Selangor.

Ditanya mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang meminta isu air di Selangor tidak dipolitikkan, Rozali berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Selangor dapat berunding untuk menyelesaikan isu air itu.

"Syabas diberi mandat oleh kedua-dua kerajaan ini, jadi kita mahukan penyelesaian terbaik untuk rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Rozali berkata Syabas menerima 1,257 permohonan migrasi ke meter individu yang melibatkan 256,471 akaun dengan kira-kira 50,000 akaun telah ditukar kepada akaun individu bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

"Polisi kita sekarang adalah untuk menukar semua meter pukal kepada meter individu dan kami harap semua meter pukal dapat ditukar menjelang akhir tahun ini," katanya.

Beliau menjelaskan tarif air bagi meter individu adalah lebih murah berbanding meter pukal dengan kadar bayaran minimum bulanan bagi meter individu adalah RM6 berbanding RM35 bagi meter pukal.

Rozali berkata Syabas juga berdepan masalah bil tertunggak melibatkan meter pukal sebanyak RM10 juta. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain