suria

Lelaki Disyaki Terlibat Kegiatan Pecah Kereta Ditahan

IPOH: Polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes pecah kereta yang dilaporkan berlaku di sekitar kawasan Rehat & Rawat Tapah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lembah Klang berikutan penahanan seorang lelaki, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Som Sak Din Keliaw berkata lelaki berusia 47 tahun itu ditangkap selepas pihak polis terserempak dengan suspek yang sedang memandu kereta mewah jenis BMW di kawasan terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui beberapa alat yang dipercayai digunakan oleh lelaki itu untuk memecah kereta antaranya pemutar skru, tukul, pisau, batang besi selain beberapa keping kad pengenalan, kunci kereta dan wang tunai milik mangsa," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Katanya hasil siasatan juga mendapati kereta yang digunakan oleh lelaki terbabit merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang di Kepong, Selangor pada 6 Mei lalu.

Lelaki itu ditahan reman seminggu bermula Khamis untuk siasatan lanjut, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain