suria

Demonstrasi Desak Lim Guan Eng Letak Jawatan

GEORGE TOWN: Lebih 70 anggota Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri hari ini berhimpun secara aman di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng meletak jawatan kerana didakwa gagal menjaga kepentingan rakyat negeri ini.

Ada di antaranya menaiki motosikal dan menyebarkan 4,000 keping poster dengan tulisan "Lim Guan Eng AntiMelayu" di sepanjang jalan bermula dari kediaman Lim di Jalan Pinhorn sebelum berkumpul di Komtar pagi Khamis.

Mereka juga menggantung gambar Lim dengan kalungan bunga di hadapan pagar rumah pemimpin itu sebagai simbolik menolak pemerintahan Lim di negeri ini.

Mereka berhimpun di hadapan Komtar selama 30 minit dan mengangkat kain rentang yang mempersoalkan keenganan ketua menteri itu memenuhi tujuh tuntutan mereka.

Ketua Wira Perkasa Pulau Pinang Mohd Rizuad Mohd Azudin berkata mereka menggesa DAP memilih keturunan Cina rakyat tempatan bagi jawatan Ketua Menteri kerana Lim bukan anak tempatan dan tidak memahami masalah dan mentaliti penduduk negeri ini.

Lim juga harus meletak jawatan kerana enggan mendengar permasalahan rakyat dan bersikap tidak rasional dengan mencampur adukkan hal ehwal politik dan kepentingan rakyat, katanya kepada pemberita.

Katanya, pertubuhan itu telah membuat tujuh tuntutan dalam beberapa siri demonstrasi sebelum ini namun Lim enggan berjumpa dengan mereka untuk berbincang.

Antara tuntutan itu ialah berhubung isu tapak masjid di Bayan Mutiara, isu perumahan rakyat, bayaran ganti rugi kepada pemilik gerai yang dirobohkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan isu mengenai tahap keselamatan kilang solar di Batu Kawan. - BERNAMA

Artikel Lain