suria

Peluang BN Menang Di Selangor Cerah - Mohd Zin

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berpeluang cerah merampas semula negeri Selangor daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 berdasarkan kaji selidik oleh BN Selangor.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata hasil keputusan kaji selidik itu pada minggu lepas mendapati rata-rata pengundi dari 29 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sekitar Selangor memilih BN untuk memerintah negeri tersebut.

"Hasil respons positif itu menunjukkan bahawa BN has crossed the line (melepasi garisan), bermaksud pada kertas, BN telah mendapat sokongan majoriti penduduk di Selangor kerana untuk memenangi negeri Selangor, BN perlu menang di 29 kawasan DUN daripada 56 kawasan DUN yang terdapat di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis meraikan Hari Pekerja peringkat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini Rabu.

Turut hadir ialah Presiden KTMB Datuk Elias Kadir dan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu (The Railwaymen's Union of Malaya) Abdul Razak Md Hassan.

Katanya, kaji selidik itu oleh pihak ketiga yang dilantik oleh BN Selangor itu telah mendapat respons daripada penduduk setempat mengikut kategori umur, bangsa, pekerjaan dan kawasan DUN.

"Soalan yang disediakan termasuk adakah para pengundi memilih BN atau pembangkang, apakah mereka mahu mengekalkan wakil rakyat mereka yang sedia ada atau menukar kepada individu lain dan pelbagai soalan lain berkaitan pemerintahan kerajaan negeri," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Zin berkata hasil keputusan kaji selidik itu hanya menunjukkan indikator semasa dan bukannya jumlah yang muktamad kerana ia boleh berubah dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, beliau berkata BN Selangor telah bertindak proaktif dan agresif dengan menubuhkan Pusat Khidmat Rakyat Barisan Nasional (Pakar) yang boleh dihubungi pada bila-bila masa melalui talian 1-300-22-2626.

Pusat panggilan yang berperanan sebagai penghubung komunikasi antara parti dan rakyat akan menerima cadangan, aduan atau pertanyaan berhubung parti dan masalah setempat dari orang ramai, katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi KTMB berkata beliau akan mengkaji tuntutan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan untuk kakitangan bukan eksekutif KTMB oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Mohd Zin berkata keputusan mengenainya bergantung kepada kedudukan kewangan semasa KTMB dan kelulusan oleh Kementerian Kewangan. - BERNAMA

Artikel Lain