suria

Polis Tahan Tiga Anggota Geng Bumper

KAJANG: Polis menahan tiga anggota 'Geng Bumper' yang dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan mencuri kereta mewah sekitar Kajang dan beberapa daerah lain sejak awal tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata kumpulan terbabit dipercayai menggunakan modus operandi dengan melanggar belakang kereta (bumper) sebelum bertindak menyamun dan melarikan kereta mangsa.

Beliau berkata penahanan pertama dilakukan terhadap seorang lelaki tempatan di hadapan kedai Speedmart 99 di Taman Seri Timah, Balakong di sini, kira-kira pukul 3.10 petang semalam.

"Polis kemudian merampas sebuah beg sandang, serangkai anak kunci kereta Toyota, Isuzu, Proton serta kereta Honda Civic yang dipandu suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kajang, Jumaat.

Dalam satu lagi tangkapan berasingan, beliau berkata polis menahan dua suspek yang dipercayai bersubahat dengan suspek pertama, di hadapan Juta Mines Condo, Taman Seri Timah, Balakong di sini, kira-kira pukul 4 petang semalam.

Abdul Rashid berkata polis turut merampas kereta jenis Honda Accord, Isuzu D Max dan Proton Persona yang kesemuanya bernilai kira-kira RM400,000 daripada kedua-dua suspek tersebut.

Dengan penahanan tiga lelaki yang berumur antara 20 dan 25 tahun itu, katanya polis percaya dapat menyelesaikan lima kes curi kereta mewah di kawasan Kajang.

Beliau berkata polis sedang mengesan saki-baki anggota kumpulan terbabit.

Katanya kesemua suspek ditahan reman sehingga Jumaat depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain