suria

Kesemua Bantuan Kerajaan Tiada Unsur Politik

GEORGE TOWN: Kesemua bantuan yang diberikan kerajaan pusat bukanlah rasuah atau 'gula-gula' politik bagi meraih sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Shahbudin Yahaya (BN-Permatang Berangan) berkata segala bentuk bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan persekolahan yang disalurkan kerajaan BN, tidak mempunyai agenda terselindung kerana pemberian itu kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama mahu pun fahaman politik.

"Tidak pernah kami (BN) meletakkan syarat setiap penerima BR1M mestilah anggota BN. Tolong buktikan mana-mana borang kita tetapkan penerima mestilah anggota BN," katanya ketika membahaskan usul terima kasih Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mencelah bagi menyangkal tuduhan Sim Tze Tzin (PKR-Pantai Jerejak) bahawa tujuan pemberian BR1M dan segala bentuk bantuan oleh kerajaan BN adalah untuk meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Shahbudin berkata apa yang dilaksanakan kerajaan itu adalah mengikut kreativiti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam memberikan apa yang terbaik kepada rakyat dan bukannya menciplak idea pakatan pembangkang.

"Ia (pemberian bantuan) tak dipatenkan pun. Dalam urusan mentadbir dan menguruskan rakyat, ruang kreativiti yang 'unlimited' (tidak terhad) dengan mengambil kira faktor sekeliling, kita boleh gunakan demi memberikan yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga tidak meletakkan sebarang syarat seperti setiap pemohon BR1M mestilah berdaftar sebagai pengundi bagi membolehkan mereka menerima bantuan tersebut.

Katanya keikhlasan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat jelas terbukti apabila melanjutkan tempoh pemberian BR1M dan rakyat boleh membuat rayuan sekiranya permohonan kali pertama gagal bagi memastikan setiap rakyat yang layak menerima bantuan itu.

"Kita dapat lihat bahawa apa yang dilaksana kerajaan tiada unsur rasuah politik," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain