suria

Dakwaan Anwar Bagi Mengaburi Rakyat Terhadap Kelemahan Pembangkang - Rosnah

KUALA LUMPUR: Dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa terdapat wakil rakyat Sabah yang akan menyertai parti pembangkang diibaratkan seperti sebuah kisah dongeng yang bertujuan mengaburi rakyat terhadap kelemahan parti itu.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam satu kenyataan hari ini berkata kenyataan itu menunjukkan Anwar sudah ketandusan modal politik selain hanya mengulangi dakwaan kononnya pakatan pembangkang semakin mendapat tempat di hati rakyat Sabah sehingga ramai yang mahu menyertai parti berkenaan.

"Kami wakil rakyat Sabah tidak akan sama sekali termakan dengan gula-gula Anwar dan konco-konconya yang memang gigih memancing mana-mana wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk menyertai parti pembangkang sebagai jalan mudah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Dakwaan Anwar itu menunjukkan pakatan pembangkang ketandusan pemimpin yang boleh menjadi wakil rakyat sehingga sanggup mengaburi rakyat dengan mengatakan ada kalangan pemimpin di Sabah akan menyertai mereka," katanya .

Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar, Sabah turut menasihatkan Anwar supaya berhenti bersandiwara dan mengulangi cerita dongeng yang boleh menyebabkan rakyat semakin muak dan mual terhadap pembangkang.

Katanya, hasil kerja keras kerajaan pimpinan BN telah menjadikan Sabah sebuah negeri yang membangun dan sentiasa mengutamakan keperluan rakyat dan usaha tersebut akan sentiasa diteruskan oleh wakil rakyat BN di negeri itu.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Anwar sekali lagi melakukan pembohongan besar apabila mendakwa ada wakil rakyat BN di Sabah akan menyertai pakatan pembangkang sekaligus memberi kelebihan kepada pembangkang untuk membentuk kerajaan berikutan penghijrahan tersebut.

Katanya, pembohongan Anwar itu bertujuan menunjukkan beliau mendapat sokongan besar rakyat Sabah meskipun sehingga kini perkara itu (penghijrahan wakil rakyat BN) tidak pernah berlaku. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain