suria

APMM Rampas Tiga Bot Bersama 32 Nelayan Vietnam

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali di sini menahan 32 awak-awak dan tekong nelayan Vietnam ketika menangkap ikan di perairan negara pada Ahad.

Komander Maritim APMM Tok Bali, Zainin Abdul Majid berkata tiga bot yang dinaiki nelayan terbabit dan peralatan menangkap ikan bernilai antara RM90,000 dan RM150,000 turut dirampas dalam serbuan kira-kira 1 tengah hari itu.

"Ini merupakan tangkapan kali ke-14 dan terbesar sejak Januari," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zainin berkata Kapal Maritim Jujur dianggotai 25 pegawai yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah, Lt Kdr Maritim, Suhaizan Saadin mengesan kegiatan nelayan asing itu di lokasi 110 hingga 112 batu nautika dari timur laut Tok Bali.

"Kesemua nelayan berumur antara 20 dan 61 tahun serta bot berkenaan ditunda ke pangkalan APMM di sini untuk tindakan lanjut termasuk mendakwa mereka di mahkamah dalam tempoh terdekat," katanya. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM1 juta atau 6 bulan penjara bagi tekong dan RM100,000 atau 6 bulan penjara bagi setiap awak-awak atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya dalam tempoh Januari hingga semalam, APMM Tok Bali menahan seramai 159 nelayan asing membabitkan 14 kes berbanding 249 orang yang membabitkan 13 kes sepanjang tahun lepas.

Zainin berkata APMM akan meningkatkan lagi rondaan berasaskan pencerobohan nelayan asing terhadap perairan negara dari terus berlaku dan ia berpunca keranas perairan negara mengandungi banyak ikan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain